Di dalam membangunkan pasaran modal negara,
suruhanjaya telah mengenalpasti pembangunan pasaran modal Islam sebagai salah
satu daripada agenda utamanya. Agenda ini diteruskan dalam pelan induk pasaran
modal Islam yang dilancarkan pada 22 Februari 2001. Antara objektif utama yang
digariskan oleh pelan ini ialah menjadikan Malaysia sebagai pusat pasaran modal
Islam antarabangsa. Dalam mencapai hasrat murni ini, suruhanjaya telah
mengambil dua pendekatan:
· Pembentukan prasarana pasaran yang diperlukan
bagi penyelidikan, perbincangan dan dialog.
·
Usaha-usaha untuk meluas dan mendalamkan lagi
pasaran modal
Pembentukan
Prasarana Pasaran
-Jabatan Pasaran Modal Islam (JPMI)
(sebelum ini unit pasaran modal Islam)
Dalam menjalankan usaha-usaha untuk memajukan
pasaran modal supaya selari dengan kehendak dan tuntutan undang-undang, pihak
suruhanjaya sekuriti telah menubuhkan satu jabatan dibawah bahagian dasar dan
pembangunan pasaran, dikenali sebagai Jabatan Pasaran Modal Islam (JPMI).
Jabatan ini diberi tanggungjawab untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan
produk pasaran modal Islam dalam sektor ekuiti, hutang dan deravatif dan
mengkaji sekuriti syarikat yang tersenarai. Ia mempunyai pegawai sepenuh masa
yang memiliki latar belakang pendidikan syariah, khusunya didalam Fiqh Muamalat
dan juga kewangan moden. Gandingan kerja yang mengabungkan tenaga professional
daripada dua latarbelakang berbeza ini penting di dalam menghasilkan satu
kumpulan kerja yang mampu mencapai matlamat yang telah digariskan. Hasil
penyelidikan dan kajian yang telah dijalankan oleh jabatan dibentang dalam MPS
untuk mencapai kelulusan dan keputusan.
-Kumpulan Penyelidikan Instrumen Islam (KPII)
Hasil daripada perbincangan dengan pakar-pakar dalam bidang Syariah dan
kewangan Islam, SC telah menubuhkan sebuah Kumpulan Penyelidikan Instrumen
Islam (KPII). Kumpulan ini dianggotai oleh pakar-pakar Syariah, pengamal
kewangan Islam dan perundangan. Suruhanjaya telah menubuhkan KPII pada tahun
1994 yang dianggotai oleh pakar Syariah dan tokoh korporat dan kumpulan ini
telah mengadakan mesyuarat sebanyak lapan kali sepanjang tahun 1995–1996.
Berikut ialah senarai ahli KPII (dari 1994 hingga 15 Mei 1996):
(a) Dato’ Sheikh Azmi Ahmad;
(b) Dato’ Mohd Khudzairi Dainuri;
(c) Prof Madya Md Hashim Yahaya (kini bergelar Datuk);
(d) Dato’ Dr Abdul Halim Ismail;
(e) Encik Nor Mohamed Yakcop
(f) Dr Abdullah Ibrahim;
(g) Ustaz Hassan Ahmad (kini bergelar Dato’)
KPII secara berterusan
memberikan input kepada SC ke arah membangunkan pasaran modal Islam. Kewujudan
kumpulan ini juga membolehkan pakar-pakar Syariah berinteraksi secara langsung
dengan mereka yang terlibat dengan industri pasaran modal.
Peluang ini membolehkan pakar-pakar Syariah
lebih memahami tentang produk kewangan serta perjalanan pasaran modal itu
sendiri. Dengan cara demikian dapat mempermudah pakar Syariah mendapat
pendedahan yang jelas tentang hakikat sebenar pasaran modal dari segala aspek sama
ada produk, perkhidmatan, garis panduan dan perjalanannya. Pemahaman ini juga
dapat permudahkan pakar Syariah mengenal pasti isu-isu Syariah serta boleh
memandu mereka mengemukakan cadangan berkesan untuk pembangunan sistem pasaran
modal Islam.
Di samping menilai produk-produk kewangan pasaran modal, sumbangan utama
KPII adalah untuk menyediakan platform asas untuk menilai sekuriti-sekuriti
yang tersenarai di Bursa Malaysia. Sebelum itu, Bank Islam Malaysia Berhad
telah mengambil inisiatif untuk membuat penyaringan sekuriti tersenarai di
Bursa Kuala Lumpur dan menyediakan ”Senarai Sekuriti Lulus Syariah”.
Pihak bank dapat menyediakan senarai ini dengan dibantu oleh para
penasihat Syariah bank terbabit. Namun, ia bertujuan untuk kegunaan dalaman dan
pelaburan pihak bank sendiri. Menyedari kepentingan menentukan status lulus
Syariah bagi sekuriti tersenarai di bursa, fokus utama KPII adalah untuk
memberikan input kepada SC tentang asas-asas yang perlu untuk menjadi panduan
bagi menilai sesuatu sekuriti itu sebagai patuh Syariah atau sebaliknya.
Kejayaan KPII dalam memberikan input tersebut menjustifikasikan SC
tentang perlunya suatu badan lebih formal dibentuk di bawah Akta Suruhanjaya.
Tugas utama badan itu adalah untuk memberi input kepada SC tentang mewujudkan
satu sistem pasaran modal Islam secara menyeluruh serta dapat mengharmonikan
pandangan Syariah bagi perkara berkaitan dengan isu-isu Syariah di dalam
pasaran modal. Berdasarkan asas tersebut sebuah badan yang lebih formal telah
ditubuhkan pada 16 Mei 1996 bagi menggantikan KPII. Badan ini dinamakan sebagai
Majlis Penasihat Syariah (MPS).
-Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti
JPMI telah menjalankan penyelidikan dan
bertindak sebagai sebagai sekretariat kepada KPII. KPII telah menunjukkan
kejayaan dalam meneroka asas-asas pembangunan pasaran modal Islam di Malaysia.
Justeru itu, suruhanjaya berpendapat, peranan KPII perlu dikembangkan dan ia
telah dinaikkan taraf menjadi sebuah badan yang lebih formal yang dinamakan
Majlis Penasihat Syariah (MPS) pada 16 Mei 1996.
Penubuhan Majlis ini adalah mengikut
kuasa-kuasa yang diberikan kepada SC di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (Akta
498). Seksyen 16 akta ini telah memberi kuasa penuh kepada SC untuk melakukan
sesuatu yang wajar dalam menjalankan tugasnya berdasarkan undang-undang
sekuriti. Kemudiannya seksyen 18, Akta 498 menyebut bahawa SC diberi kuasa
untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang boleh membantunya menjalankan tugas
berdasarkan Akta. Di samping itu juga SC dibenarkan melantik sesiapa yang layak
untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.
Dengan penubuhan MPS, ia menjadi rujukan di
peringkat nasional tentang isu-isu berkaitan dengan pasaran modal Islam.
Selaras dengan SC sebagai badan pengawal selia tunggal di Malaysia, MPS yang
ditubuhkan mengikut kuasa-kuasa SC di bawah Akta Suruhanjaya dapat mewujudkan
suasana harmoni dalam menentukan keputusan-keputusan hukum Syariah mengenai
pasaran modal.
Penubuhan MPS ini telah mendapat restu
daripada menteri kewangan Malaysia dan ia telah diberi mandat dalam memastikan
perjalanan pasaran modal islam selaras dengan prinsip-prinsip syariah. Bidang
kuasanya adalah memberi nasihat kepada suruhanjaya dalam semua perkara
berhubung pembangunan pasaran modal Islam yang komprehensif dan bertindak
sebagai pusat rujukan dalam semua isu pasaran modal Islam.
Dalam memperkenalkan instrumen pasaran modal
Islam, MPS telah mengambil dua pendekatan iaitu :
a. Mengkaji
kesahihan instrumen konvensional yang diamalkan oleh pasaran modal tempatan
daripada persepktif syariah. Kajian tertumpu kepada struktur, makenisme dan
penggunaan instrument tersebut samada terdapat sebarang percanggahan dengan prinsip-prinsip
syariah.
Di dalam membuat penyelidikan di dalam pasaran
modal islam, Majlis Penasihat Syariah telah memutuskan untuk menerima semua
sumber dan manhaj (metodologi) fuqaha’ muktabar. Sumber tersebut meliputi
sumber utama dam sumber sokongan yang diterima pakai dalam perundangan islam
sebagai sumber penyelidikan. Sumber utama dalam menjalankan penyelidikan dalam
pasaran modal yang menjadi rujukan ialah Al-Quran dan As-Sunnah. Ini kerana
Islam menggesa umatnya supaya merujuk kepada kedua-dua sumber tersebut bagi
menyelesaikan masalah yang timbul dalam urusan harian. Firman Allah s.w.t :
Maksudnya: “Wahai
orang-orang yang beriman, taatilah allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri
dikalangan kamu selagi ia berpegang pada jalan Allah. Sekiranya kamu berselisih
pendapat tentang sesuatu perkara, maka rujuklah kepada Allah (Al-quran) dan
Rasul (as-sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dab hari kenudian.
Yang denikian itu lebih utama bagimu dan lebih baik akibatnya”. (Surah
An-Nisa:59)
Pembentukan kriteria asas Syariah dari
sumber-sumber di atas dalam pembangunan dan pengembangan sekuriti juga amat
bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Aku tinggalkan kepada
kamu dua perkara, sekiranya kamu berpegang kepada keduanya maka kamu tidak akan
sesat untuk selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnahku.”
Selain daripada dua sumber utama tersebut, MPS
juga memutuskan untuk menerima pakai sumber-sumber sokongan dan manhaj
perundangan islam yang lain seperti Ijma’, Qiyas, Maslahah, Istihsan, Istishab,
Sadd Zari’ah, Urf’, Maqasid Syariah, Siasah Syariah, Takwil, Istiqra’, Talfiq
dan lain-lain yang telah diterimapakai dalam perundangn islam.
Ini bersandarkan kepada pengakuan yang dibuat
oleh Baginda Rasulullah terhadap Muaz bin Jabal apabila kadi daerah Yaman itu
menerangkan langkah-langkah yang akan diambil oleh beliau di dalam melaksanakan
tugas sebagai kadi nanti. Rasulullah telah bertanya kepada Muaz tentang
beberapa prinsip penting. Sabda Nabi s.a.w.: “Wahai Muaz, apakah rujukan kamu
dalam memutuskan sesuatu keputusan?” Muaz menjawab bahawa beliau akan merujuk
kepada al-Quran. Kemudian Rasulullah s.a.w. menyoal lagi: “Bagaimana jika
perkara yang dihukum tidak terdapat dalam al-Quran?” Muaz menjawab bahawa
beliau akan merujuk kepada sebarang keputusan yang pernah diputuskan oleh
Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: “Bagaimana
sekiranya perkara tersebut tidak pernah aku putuskan?” Lalu Muaz menjawab
bahawa beliau akan berijtihad menggunakan pemikiran dan kebijaksanaannya untuk
membuat keputusan. Cara Muaz menangani segala persoalan yang memerlukan
keputusan hukum telah direstui oleh Rasulullah s.a.w. dengan sabda Baginda:
“Segala puji bagi Allah s.w.t. yang telah memberi petunjuk kepada Rasulullah
dan utusan Rasulullah (Muaz).”Justeru, perkara-perkara berkaitan dengan sumber
sokongan dan manhaj penyelidikan di atas adalah termasuk dalam ijtihad sebagaimana
yang dinyatakan dalam hadis di atas dan ia telah diterima pakai dalam
penyelidikan pasaran modal Islam di Malaysia.
Dalam mengklasifikasikan saham-saham ini, MPS
menerima input dan sokongan daripada SC. Pihak SC mengumpulkan maklumat
syarikat melalui pelbagai sumber seperti laporan kewangan tahunan syarikat,
maklum balas dari borang kaji selidik yang dikeluarkan untuk mendapatkan
maklumat terperinci dan juga melalui pertanyaan yang dibuat kepada pihak
pengurusan syarikat berkenaan. SC melalui MPS akan sentiasa mengawasi aktiviti
semua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia untuk menentukan statusnya
daripada perspektif Syariah.
MPS telah menggunakan beberapa kriteria
tertentu iaitu kajian ditumpukan kepada aktiviti sesebuah syarikat yang sahamnya
tersenarai di Bursa Malaysia. Oleh yang demikian, tertakluk kepada beberapa
syarat yang telah ditetapkan, syarikat yang menjalankan aktiviti selaras dengan
prinsip Syariah akan diklasifikasikan sebagai saham patuh Syariah dan juga
sebaliknya.
Oleh yang demikian, dalam memperkenalkan
instrumen pasaran modal Islam, MPS telah mengambil dua pendekatan iaitu,
pertama, dengan mengkaji kesahihan instrumen
konvensional yang diamalkan oleh pasaran modal tempatan daripada perspektif Syariah. Kajian tertumpu kepada struktur, mekanisme dan penggunaan instrumen tersebut sama ada terdapat sebarang percanggahan dengan prinsip-prinsip Syariah. Manakala kaedah kedua ialah merangka dan membentuk instrumen kewangan baru berlandaskan
prinsip-prinsip Syariah.
MPS juga diberi
tanggungjawab untuk mengesahkan senarai sekuriti patuh Syariah (sebelum ini dikenali sebagai
senarai sekuriti yang diluluskan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti). Sehingga 28 Oktober 2005, sebanyak 857 sekuriti telah dikelaskan sebagai sekuriti patuh Syariah oleh MPS.
Jumlah ini mewakili 85%
daripada keseluruhan sekuriti yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Senarai ini dikemaskinikan dari semasa ke semasa dan pihak Suruhanjaya mengumumkan senarai terkini sekuriti patuh Syariah sebanyak dua kali setahun. Senarai ini penting dalam membantu pelabur Islam mengenal pasti sekuriti yang selaras dengan prinsip Syariah dan
sekaligus meningkatkan
keyakinan mereka tanpa sebarang keraguan dalam membuat pelaburan.
Saham juga merupakan salah satu produk
sekuriti kewangan yang penting bagi pasaran modal tersenarai di Bursa Malaysia. Sehingga November 2008
sebanyak 980 syarikat telah menyenaraikan saham mereka di Bursa
Malaysia. Dalam pasaran modal saham termasuk dalam sektor
ekuiti, MPS bertanggungjawab mengesahkan penyelidikan terhadap
sekuriti-sekuriti tersenarai di Bursa Malaysia sebagai Sekuriti Patuh Syariah
berasaskan kriteria Syariah yang telah digariskan oleh MPS bagi sektor ekuiti.
Senarai Sekuriti Patuh Syariah ini diterbitkan kepada umum dua kali
setahun iaitu pada akhir Mei dan November setiap tahun. Pada awalnya
ia mula diperkenalkan kepada awam pada 18 Jun1997.
Pada masa itu sebanyak 371 buah syarikat
iaitu kira-kira separuh daripada syarikat tersenarai di Bursa Kuala Lumpur dikategorikan sebagai patuh Syariah.
Senarai Sekuriti Patuh Syariah ini menjadi panduan asas kepada individu dan
institusi pengurusan dana yang perlu melabur dalam sektor patuh
Syariah untuk merujuk tentang sekuriti-sekuriti tersenarai di Bursa Malaysia yang
boleh dibeli atau dilabur. Sehingga akhir November 2008, sebanyak 855
sekuriti daripada jumlah 980 sekuriti tersenarai di Bursa Malaysia
adalah patuh Syariah. Ini mewakili 87 peratus daripada keseluruhan jumlah
sekuriti tersenarai.
Senarai sekuriti patuh Syariah ini dijadikan
asas kepada pembentukan Indeks Syariah yang
dilancarkan oleh Bursa Malaysia pada 17 April 1999. Dengan perkembangan ini, pelabur dapat mengukur prestasi pelaburan mereka dengan lebih cekap dan berkesan. Biarpun SCA tidak menyatakan secara jelas penubuhan MPS, namun seksyen 16 SCA ini memperuntukkan bahawa Suruhanjaya mempunyai kuasa penuh dalam menjalankan tugasnya berdasarkan undang-undang sekuriti.
Manakala seksyen 18 SCA menyebut bahawa
Suruhanjaya diberi kuasa untuk menubuhkan suatu jawatankuasa yang boleh membantunya menjalankan tugas berdasarkan akta, dan Suruhanjaya juga dibenarkan melantik sesiapa yang layak untuk menganggotai jawatankuasa tersebut. Ahli MPS dilantik oleh Suruhanjaya
setiap dua tahun sekali.
Kriteria Syariah Sekuriti Tersenarai Yang Dilaksanakan Oleh Majlis
Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti
I.
Kriteria Syariah Sekuriti Tersenarai
Dalam membentuk kriteria tersebut, tumpuan diberikan kepada aktiviti
utama syarikat dari sudut barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan. Ini
kerana, aktiviti utama mendatangkan pulangan kepada syarikat dan seterusnya
dibahagikan kepada para pemegang saham dalam bentuk keuntungan dan dividen.
Aktiviti tersebut perlu dikenal pasti sama ada bertentangan dengan kehendak
Syariah atau tidak. Sekiranya ia bertentangan, maka sekuriti syarikat tersebut
dianggap terkeluar daripada senarai patuh Syariah Setelah menjalankan
penyelidikan sekian lama dan juga perbincangan dengan pelbagai pihak dari dalam
dan luar negeri, MPS mendapati kriteria berikut dapat digariskan dalam menilai
sesuatu sekuriti itu sebagai patuh Syariah atau sebaliknya. Penggunaan kriteria
tersebut dapat mengasingkan sekuriti patuh Syariah daripada keseluruhan
sekuriti yang tersenarai. KPII, dalam mesyuarat kelima pada 23 Ogos 1995, telah
memutuskan empat kriteria asas utama bagi menilai sesuatu sekuriti tersenarai.
Secara umumnya, kriteria berkenaan dirangka setelah merujuk kepada al- Quran,
hadis dan prinsip am Syariah dan dirumus mengikut aktiviti syarikat yang
berkaitan
Kriteria Pertama
Aktiviti utama syarikat berteraskan riba seperti yang dijalankan oleh
institusi kewangan konvensional termasuk bank perdagangan, bank saudagar,
syarikat kewangan dan lain-lain.
Hujah kriteria pertama :
a)
Dalil al-Quran berdasarkan ayat 275–276 daripada Surah al-Baqarah:
Maksudnya: “Orang yang memakan (mengambil) riba tidak dapat berdiri
betul melainkan terhoyong-hayang seperti orang yang dirasuk syaitan (pada hari
kiamat kelak). Keadaan mereka yang demikian itu kerana mereka berkata
sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, sedangkan Allah s.w.t. telah
menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang yang telah sampai kepadanya
larangan daripada Tuhannya, lalu terus berhenti (daripada mengambil riba) maka
baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan ini); dan
urusannya terserah kepada Allah s.w.t. Orang yang mengulangi (mengambil riba)
maka orang itu adalah penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya. Allah
memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah dan Allah s.w.t. tidak menyukai setiap
orang yang tetap dalam kekufuran dan selalu berbuat dosa.”
b)
Dalil ijmak
Fukaha dalam semua mazhab telah sepakat bahawa riba adalah sesuatu yang
haram. Oleh kerana persepakatan ini maka pengharaman riba telah menjadi sesuatu
yang diijmakkan.
Kriteria Kedua
Aktiviti utama syarikat ialah kegiatan judi seperti kasino, nombor ekor
dan yang seumpamanya.
Hujah kriteria kedua :
Pengharaman judi jelas dalam al-Quran. Allah s.w.t. memerintahkan
orangorang yang beriman meninggalkannya sebagaimana firmanNya:
Maksudnya: ”Wahai
orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, pemujaan
berhala, menilik nasib, adalah perbuatan keji yang termasuk perbuatan syaitan.
Maka jauhilah perbuatan-perbuatan tersebut agar kamu mendapat kejayaan.” (Surah al-Maidah: 90)
Kriteria Ketiga
Aktiviti utama syarikat adalah pengeluaran dan penjualan barangan dan
perkhidmatan yang diharamkan dalam Islam dan ia merangkumi:
(a) Memproses, mengeluar dan memasarkan
minuman keras
(b) Membekalkan daging yang tidak halal
seperti daging babi dan sebagainya
(c) Memberi perkhidmatan tidak bermoral
seperti pelacuran, pub, disko dan seumpamanya.
Hujah kriteria ketiga :
(a)
Dalil al-Quran tentang makanan Islam menggesa manusia seluruhnya memakan
makanan yang halal dan baik. Gesaan tersebut dapat dilihat berdasarkan firman
Allah s.w.t. dalam ayat: Maksudnya: “Wahai manusia, makanlah sesuatu yang halal
lagi baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkahlangkah
syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah: 168)
Dalam ayat yang lain disebutkan secara terperinci perkara yang
diharamkan seperti berikut: Maksudnya: “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai,
darah, daging babi, daging haiwan yang
disembelih atas nama selain Allah, yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang
mati terjatuh, yang mati ditanduk, dan yang mati diterkam binatang buas,
kecuali yang sempat kamu menyembelihnya (sebelum binatang itu mati), dan
diharamkan juga bagi kamu memakan binatang yang disembelih atas namaberhala...” (Surah al-Maidah: 3)
(b)
Dalil pengharaman arak
Firman Allah s.w.t.: Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman,
sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, pemujaan berhala, menilik nasib, adalah
perbuatan keji yang termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah
perbuatan-perbuatan tersebut agar kamu mendapat kejayaan.” (Surah al-Maidah: 90)
Dalam satu hadis diriwayatkan: Maksudnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t.
melaknat arak, pemerah anggur untuk dijadikan arak, pembeli air perahan anggur
untuk dijadikan arak, meminumnya, pemberi minuman arak, pembawa hidangan arak,
penuang yang menuangkan arak ke dalam gelas untuk peminum, penjual arak,
pembelinya dan orang yang memakan wang hasil jualan arak.”
(c) Larangan terhadap aktiviti tidak bermoral
Dalam hal zina, Islam melarang umatnya mendekati perbuatan terkutuk itu,
sehingga pelakunya layak menerima hukuman yang amatberat sekiranya sabit
kesalahan. Allah s.w.t. berfirman: Maksudnya: “Dan janganlah kamu mendekati
zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji, dan suatu jalan
yang buruk.” (Surah
al-Isra’: 32)
Begitu juga syarikat yang menjalankan aktiviti tidak bermoral seperti
menjual minuman keras, pub, disko, pelacuran dan sebagainya kerana aktiviti
tersebut menggalakkan wujudnya maksiat.
Dan juga hadith Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW
melarang (memanfaatkan) hasil penjualan anjing, hasil pelacuran dan mengupah
tukang tilik.”
Dalil-dalil di atas membuktikan perlunya pembersihan masyarakat daripada
sebarang unsur yang bertentangan dengan Islam. Pembersihan masyarakat daripada
sebarang unsur yang bertentangan dengan Islam sama ada dalam aspek ekonomi dan
sosial atau daripada aspek pemikiran dan hala tuju, adalah salah satu daripada
keperluan asasi yang perlu dilakukan bagi melaksanakan syariat Islam.
Kriteria Keempat
Aktiviti utama syarikat bersifat gharar
(ketidakpastian) seperti perniagaan insurans konvensional. Asas larangan
gharar ialah hadis Nabi s.a.w.:
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah jual beli gharar.”
Firman Allah : “Kecelakaan besar kepada orang-orang yang curang (dalam
timbangan dan sukatan). (Iaitu) mereka yang apabila menerima sukatan
(gantang-cupak) dari orang lain, mereka mengambilnya dengan cukup. Dan
(sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka
kurangi. (Surah al-Mutaffifin, 83: 1-3)
Lain-lain Kriteria
·
Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau
barangan yang berkaitan seperti rokok dan cerut. Hujah kepada kriteria ini
didasarkan kepada matlamat hukum Islam diwujudkan di muka bumi untuk menjaga
lima (5) perkara atau al-Masalih al-Dharuriyyah iaitu; agama, akal, nyawa,
zuriat dan harta. Penegasan kepentingan menjaga kelima-lima perkara ini
berpandukan firman Allah SWT: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu)
kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri
ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil), dan baikilah (dengan
sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.” (Surah
al-Baqarah, 2: 195)
Firman Allah SWT dalam ayat yang lain pula:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta
kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya),
kecuali dengan (jalan) perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di
antara kamu. Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya
Allah sentiasa mengasihi kamu.” (Surah
al-Nisa’, 4: 29)
·
Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh Syariah. Pembrokeran ini
melibatkan unsur riba dalam operasinya dan juga melibatkan kaunter-kaunter
tidak lulus Syariah untuk diurusniagakan oleh pelanggan mereka.
Kriteria ini diasaskan kepada hadith Nabi SAW
yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Allah SWT apabila mengharamkan ke atas
sesuatu kaum sesuatu makanan maka haramlah jualah harganya (keuntungan dari
jualannya).” MPS juga mengambil kira
tahap sumbangan daripada pendapatan faedah yang diperoleh syarikat hasil
daripada simpanan tetap konvensional atau instrumen kewangan konvensional yang
lain. Selain itu, dividen yang diterima daripada pelaburan dalam sekuriti tidak
patuh Syariah juga diambil kira dalam kajian yang dijalankan oleh MPS
II.
Syarikat Bercampur
Majlis Penasihat Syariah (MPS), dalam mesyuarat kedua pada 21 Ogos 1996,
membincangkan status syarikat yang bercampur aktivitinya antara halal dan
haram. MPS telah memutuskan bahawa syarikat bercampur yang elemen haramnya
sedikit dan tidak melebihi ukur rujuk yang telah ditetapkan oleh MPS, boleh
dimasukkan dalam Senarai Sekuriti Patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah
Suruhanjaya Sekuriti. MPS juga telah memutuskan bahawa perkara `umum balwa dan
gharar yasir perlu diambil kira dalam membuat justifikasi terhadap sesebuah
syarikat bercampur, yang aktiviti utamanya adalah halal. Manakala dalam
mesyuarat MPS kesembilan pada 27 Ogos 1997, satu ukur rujuk berhubung faktor
imej syarikat telah diputuskan
Syarikat bercampur bermaksud aktiviti utama syarikat adalah terdiri
daripada aktiviti yang dibenarkan Syariah, namun terdapat juga aktiviti
sampingan yang haram dengan nisbah kecil. Bagi syarikat bercampur, MPS
mempertimbangkan beberapa kriteria tambahan sebelum memasukkannya dalam senarai
sekuriti patuh Syariah, iaitu :
a)
aktiviti utama syarikat mestilah bukan aktiviti yang bertentangan dengan
prinsip-prinsip Syariah sebagaimana telah digariskan oleh empat kriteria utama
(telah diterangkan sebelum ini), manakala unsur haram adalah amat kecil
berbanding dengan aktiviti utamanya
b)
pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik;
dan
c)
aktiviti utama syarikat mempunyai kepentingan dan maslahah kepada umat
Islam dan negara manakala unsur haram yang amat kecil melibatkan perkara `umum
balwa, `urf dan hak masyarakat bukan Islam yang diperakui oleh Islam.
Tanda Aras Bagi Menentukan Sekuriti Patuh Syariah atau
Sebaliknya
MPS telah menetapkan
beberapa tanda aras tertentu berasaskan ijtihad untuk menentukan
sekuriti syarikat bercampur sebagai patuh Syariah atau sebaliknya dengan
mengira sumbangan aktiviti tersebut kepada perolehan dan keuntungan sebelum cukai
sesebuah syarikat. Sekiranya sumbangan daripada aktiviti yang tidak
selaras melebihi tanda aras yang telah ditetapkan, maka sekuriti syarikat
tersebut akan diklasifikasikan sebagai sekuriti tidak patuh Syariah. Tanda aras
tersebut adalah seperti yang berikut:
a. Tanda aras 5 peratus
Secara amnya tanda aras ini
digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang jelas
keharamannya atau tidak selaras dengan Syariah seperti aktiviti riba (syarikat
berasaskan faedah seperti bank konvensional), judi, minuman keras dan daging
babi.
b. Tanda aras 10 peratus
Tanda aras ini digunakan
bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang melibatkan unsur ’umum
balwa iaitu perkara terlarang yang melibatkan kebanyakan orang dan sukar untuk
dielakkan. Contoh sumbangan tersebut ialah pendapatan faedah daripada simpanan
tetap dalam bank konvensional. Tanda aras ini juga digunakan bagi aktiviti yang
melibatkan tembakau.
c. Tanda aras 20 peratus
Tanda aras ini digunakan
bagi mengukur tahap percampuran sumbangan terimaan sewaan daripada aktiviti
tidak patuh Syariah. Terimaan sewaan sedemikian kebiasaannya daripada premis
yang terdapat menjalankan aktiviti bercampur-campur antara patuh Syariah dan
dengan yang sebaliknya seperti terimaan sewaan daripada aktiviti pasar raya
yang di dalamnya terdapat aktiviti jualan arak dan sebagainya.
d. Tanda aras 25 peratus
Tanda aras ini digunakan
bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang secara umumnya selaras
dengan Syariah dan mempunyai maslahah kepada masyarakat awam, namun
terdapat unsur lain yang boleh menjejaskan status Syariah aktiviti berkenaan.
Antara aktiviti yang mempunyai tanda aras ini ialah aktiviti pengoperasian hotel
dan pusat peranginan, perniagaan saham, pembrokeran dan sebagainya kerana
aktiviti tersebut berkemungkinan
Melibatkan aktiviti lain yang tidak selaras dengan
Syariah
Kebaikan wujudnya senarai
sekuriti patuh Syariah yang telah dianalisis dan disahkan oleh MPS dapat
mempermudahkan perkembangan industri unit amanah Islam. Ini dapat menambah
produk kewangan baru di pasaran dan mempelbagaikan bentuk produk kewangan dan
pelaburan berasaskan unit amanah Islam. Perkembangan pesat sektor ini dapat
dilihat dengan pertambahan bilangan unit amanah Islam yang ditawarkan. Pada tahun
1993 terdapat satu sahaja tabung unit amanah Islam di pasaran iaitu Tabung
Ittikal yang dilancarkan oleh Arab-Malaysian Unit Trust. Namun empat tahun
kemudian pada tahun 1997 bilangannya telah meningkat kepada 10 tabung. Manakala kini setakat Disember 2008 telah
terdapat 149 tabung dengan nilai aset RM17.19 billion mewakili 12.8% daripada
keseluruhan industri unit amanah negara ini
Usaha-Usaha Meluaskan Dan Mendalamkan
Pasaran
Semenjak penubuhan jabatan pasaran modal
islam, KPII dan yang terbaru ialah Majlis Penasihat Syariah, pihak SC telah
mengambil beberapa langkah pembangunan seperti berikut:
5.2.1
Menubuhkan
instrumen kewangan islam
Pertamanya ialah dengan mengenal pasti
instumen-instrumen pasaran modal yang sedia ada yang boleh diterima pakai oleh
islam. Pendekatan ini diasaskan atas kesedaran bahawa adalah tidak perlu bagi
mencipta semula dan mengubah suai instumen yang sedia ada. Tanpa mengira asal
usulnya, instumen-instrumen yang selari dengan ajaran islam tetapi terdapat
sedikit unsur-unsur yang haram pada instrumen itu dan ianya boleh dibuang tanpa
menjejaskan fungsi kegunaan intrumen tersebut, ia masih dikira sebagai boleh
diguna dan dipakai.
Dalam menilai intrumen-instrumen yang sedia
ada dan memastikan sama ada ianya boleh ditarima pakai oleh islam atau tidak,
pendekatan yang digunakan oleh pihak SC ialah dengan melakukan “Bedah Siasat”
dan menganalisa setiap instrumen tadi untuk menentukan sama ada ianya
mengandungi unsur-unsur yang diharamkan oleh islam atau tidak. Selain daripada
stok biasa (ordinary stocks) dalam syarikat-syarikat yang tidak terlibat dalam
kegiatan yang tidak halal, MPS dalam menggunakan pendekatan ini telah bersetuju
bahawa “Waran Panggilan” boleh diterima pakai selagi mana saham induknya(Mother
Shares) adalah halal.
Ini berpandukan kepada konsep “ Hak Tamalluk”
iaitu hak yang boleh dijual dan dipindah milik. Untuk itu, “Hak Langganan Boleh
Pindah” pada dasarnya lebih kurang sama dengan “Waran Panggilan” iaitu boleh
diterima asalkan ianya melibatkan hak langganan bagi stok syarikat-syarikat
yang menjalankan aktiviti halal. Manakala “Pensekuritian Aset” pula adalah
mirip kepada konsep Bay’ Ad-Dayn yang telah diterima pakai oleh Islam.
Keduanya, pendekatan yang kedua yang digunakan
dianggap sebagai pendekatan yang lebih proaktif. Memandangkan kita mudah
menerima penggunaan intrumen konvensional, kita dianggap tidak berlaku adil
kepada kekayaan khazanah ilmu fiqh islam sekiranya kita tidak mengubah dn
memperkenalkan instrumen-intrumen baru yang boleh diterima pakai oleh islam.
Lantaran iu, pendekatan pertama tadi yang mengenal pasti dan mengasingkan
intrumen konvesional yang boleh diterima oleh islam mestilah disokong dan
diiringi dengan usaha-usaha untuk mengubah dan memperkenalkan
instrumen-instrumen kewangan islam yang berlandaskan kepada konsep-konsep islam
seperti:
·
Al-Ujr iaitu bayaran atau upah kepada
perkhidmatan yang diberi
·
Bay’ Al-Dayn iaitu jual beli hutang
·
Ijarah iaitu satu pembiayaan yang dilakukan
oleh pihak bank ke atas alat dan kelengkapan yang diperlukan oleh pelanggan.
Alat-alat ini disewakan kepada pelanggan mengikut tempoh dan kadar sewa yang
dipersetujui bersama.
·
Bay’ Al-istisna’ iaitu satu kontrak yang
melibatkan bayaran terdahuluuntuk barangan yang ditempah di mana harga dibayar
mengikut kemajuan penyempurnaan kerja.
·
Qard Al-Hassan iaitu pinjaman tanpa faedah
yang diberi khusus untuk tujuan kebajikan sosial.
·
Al-Musyarakah iaitu kontrak penyatuan modal
dimana dua pihak atau lebih mengusahakan sesuatu projek secara bersama di mana
keuntungan akan dibahagi mengikut nisbah yang dipersetujui bersama manakala
kerugian ditanggung mengikut jumlah sumbangan modal setiap rakan kongsi
-Pemeriksaan
ke atas kaunter-kaunter halal di BSKL
Menteri Kewangan dalam ucapan belanjawan tahun
1997 telah mengumumkan penubuhan “Islamic Index” oleh BSKL. Penubuhan indeks
ini memerlukan kepada pengenalpastian kaunter-kaunter halal di kalangan
syarikat-syarikat yang tersenarai di BSKL. Ini disusuli pula dengan pengawasan
yang berterusan terhadap kegiatan perniagaan syarikat-ayarikat tadi. Sebelum
penubuhan SC, Bank Islam Malaysia Bhd telah menyedari betapa perlunya untuk
kita mengenalpasti kaunter-kaunter yang dikategorikan sebagai halal untuk
pelaburan. BIMB patut diberi pujian kerana menjadi pelopor kepada usaha-usaha
murni ini.
Dengan mengambil kira kerumitan perniagaan dan
strukutur syarikat, analisa mendalam ke atas syarikat, anak-anak syarikat dan
rakan kongsi syarikat tersebut bukanlah suatu kerja yang mudah. Pada masa
sekarang, tugas ini telah diserahkan kepada pihak SC yang bertanggunggjawab
sepenuhnya di dalam membangunkan pasaran modal Islam di Malaysia. Walau
bagaimanapun, pihak SC akan terus menggunakan kepakaran dan pengalaman BIMB
untuk mengemaskini, memantapkan dan memajukan lagi kerja-kerja yang cukup
bernilai yang telah dipelopori oleh BIMB ini. Ini memandangkan kepada bilangan
syarikat yang disenaraikan di BSKL dan pelabur yang mencari kaunter halal yang semakin
bertambah dari masa ke semasa.
Baru-baru ini MPS bagi Suruhanjaya Sekuriti
telah meluluskan satu senarai terkini sekuriti-sekutiti yang disenaraikan di
BSKL yang dikategorikan sebagai sekuriti halal. Senarai yang lebih 542 sekuriti
ini mula berkuatkuasa pada 19 September 1998.
Untuk mengkategorikan sekuriti ini juga, pihak MPS telah menerima
bantuan dan sokongan daripada SC. Pihak SC berperanan penting dalam mendapatkan
maklumat syarikat-syarikat daripda pelbagai sumber. Ini termasuklah laporan
kewangan tahunan syarikat, menggunakan boring kaji selidik yang dikeluarkan
untuk mendapatkan maklumat terperinci dan melaului temu bual dengan pihak
pengurusan syarikat. Melalui MPS, SC juga akan sentiasa melakukan pengawsan ke
atas aktiviti di syarikat-syarikat yang tersenarai di BSKL ini dari masa ke
semasa bertujuan untuk menentukan statusnya sama ada halal atau tidak.
Terbitan
Bon Tanda Aras Islam
Di sebalik kepesatan pembangunan pasaran modal
di Malaysia sejak sedekad yang lalu, pasaran bon masih lagi bergerak dengan
perlahan di bawah pasaran ekuiti. Walaupun penerbitan bon-bon dalam pasaran
utama agak menggalakkan, tetapi dalam pasaran kerja penerbitan bon tidak begitu
cergas dan tiada tanda-tanda untuk berkembang. Salah satu sebab bagi masalah ini
ialah ketidakseimbangan dalam penawaran dan permintaan bagi sekuriti kerajaan
Malaysia yang gagal memenuhi keperluan kecairan.
Ketiadaan bon tanda aras yang bertindak
sebagai penunjuk bagi bon sama ada di pasaran prima dan pasaran kedua,
menyebabkan ia susah untuk diterbitkan dan menjadi begitu kompleks. Situasi
begini sudah tentu tidak akan membawa kepada kemajuan dan perkembangan pasaran
bon di negara kita. Sebagai tindak balas kepada masalah ini, SC atas permintaan
Menteri Kewangan telah merancang dan menubuhkan satu rangka kerja untuk
menerbitkan bon tanda aras
Pihak SC telah mengambil dan mengaplikasikan
pengalaman yang ditimba daripada “Hong Kong Monetary Autority” dalam membangunkan pasaran bon mereka.
Menteri Kewangan dalam ucapan belanjawan 1997 telah mengumumkan perlaksanaan
program penerbitan duit syiling emas British sebagai tanda aras kepada pasaran
bon korporat. Benchmark ini diasaskan mengikut prinsip Al-murabahah dan Bay’
Al-dayn sebagaimana yang dicadangkan oleh SC.
Ini merupakan salah satu lagi langkah berkesan
dalam membangunkan pasaran modal islam di Malaysia dan sebagai satu produk yang
perlu diberi perhatian dan diikuti oleh pasaran konvensional. Struktur bagi bon
tanda aras Islam yang menggunakan prinsip Al-Murabahah dan Bay’ Al-dayn ini
adalah sama dengan bon tanpa kupon atau bon diskaun.
Bon tanda aras ini merupakan bon yang pertama
dikeluarkan di dunia kerana kebanyakan kertas berharga yang terdapat di seluruh
dunia adalah diasaskan mengikut konsep “coupon paying paper”. Kaijan yang
dijalankan menyatakan bahawa bon tanpa kupon berupaya menyeleesaikan masalah
ketiadaan tempoh kematangan. Tambahan pula bagi tujuan pembangunan pasaran bon
di masa hadapan, bon tanpa kupon akan lebih memudahkan urusan penyerahannya
dalam kontrak hadapan.
Piawaian
Perakaunan Islam ( Islamic Accounting Standards)
Jawatankuasa Kerja Perakaunan kewangan Islam
telah ditubuhkan baru-baru ini atas hasil inisiatif oleh Malaysian Associatian
of Certified Public Accountants (MACPA). Ia bertujuan untuk menyediakan
kemudahan sokongan teknikal dan sebagai penasihat berhubung dengan laporan dan
penyelarasan piawaian perakaunan. Jawatankuasa kerja ini dianggotai oleh
wakil-wakil daripada institusi kewangan, akauntan awam yang bertauliah, ahli
akademik serta wakil-wakil dari BNM dan juga wakil SC. Fungsi jawatnkuasa kerja
ini yang telah dikenalpasti termasuklah :
·
Memajukan rangka kerja perakaunan dalam bidang
kewangan Islam
·
Mengenalpasti masalah-masalah perakaunan yang
ada berhubungkai dengan produk-produk Islam
·
Menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan
perakuanan dan laporan-laporan yang menyalahi prinsip pengurusan syariah
·
Menasihati dan memajukan cadangan-cadangan
kepada MPS berkaitan hal ehwal perakaunan dan melaporkan masalah yang berkaitan
dengan instrument dan aktiviti-aktiviti yang terlibat dalam pasaran modal
Langkah
drastik untuk menyelamatkan pasaran
Tahun 1997 merupakan tahun yang bersejarah
bagi pasaran saham di Malaysia apabila BSKL telah mengalami kejatuhan paling
teruk pada tahun tersebut. Pada awal tahun di bulan Februari, indeks komposit
BSKL telah mencecah paras tertinggi bagi tempoh 3 tahun iaitu 1271.57 mata pada
25 Februari. Demikian juga minat yang tinggi pada syarikat yang disenaraikan
pada papan kedua yang begitu ketara pada tahun 1996 telah kekal pada awal tahun
1997, menyebabkan indeks papan kedua melonjak kepada 680.25 mata pada 19 Mac.
Namun begitu, arah aliran positif ini telah
terhenti pada bulan April disebabkan oleh beberapa faktor seperti :
·
Kebimbangan para pelabur terhadap arah aliran
kadar faedah antarabangsa
·
Pengenalan langkah-langkah untuk menyekat
pemberian pinjaman berlebihan kepada faktor harta benda dan bagi pembelian stok
serta saham
·
Pengumuman rancangan untuk memendekkan tempoh
penyelesaian dari tujuh hari kepada lima hari selepas tarikh urusniaga
Berikutan itu, BSKL telah mengalami kejatuhan
yang teruk dimana indeks korporat Komposit telah merosot sebanyak 10.2% dan
jumlah urusniaga bulanan telah mencatatkan jumlah yang lebih rendah iaitu
sebanyak RM26.8 billion (purata sebanyak RM49.9 billion sebulan pada tiga bulan
pertama tahun 1997).
Sentimen pasaran yang lemah sejak April ini
telah menyebabkan kesemua indeks harga utama BSKL jatuh menjunam pada akhir
tahun 1997. Indeks Komposit, Indeks Emas, dan Indeks Papan Kedua masing-masing
jatuh sebanyak 52%,56.6% dan 71.7% pada akhir tahun 1997.
Berikutan itu, SC telah memperkenalkan beberapa langkah sebagai
sebahagian daripada rancangan semasa mereka untuk memastikan pertumbuhan dan
perkembangan pasaran modal yang teratur. Beberapa pindaan telah dibuat ke atas
Garis Panduan Tawaran Awam dan Penyenaraian antaranya ialah bagi syarikat yang ingin disenaraikan di
Papan Utama BSKL, modal dibenar dan
modal berbayar minimum telah dinaikkan kepada RM 50 juta daripada RM 40 juta.
Latihan dan Pendidikan
Satu daripada acara yang
disertai oleh Suruhanjaya untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran pelabur
tentang ICM ialah Ekspo OIC 2003 yang diadakan bersempena Persidangan Kemuncak
Islam Ke-10 pada bulan Oktober 2003. Dalam ekspo ini, Suruhanjaya dan BSKL
bersama-sama membuka kaunter penerangan untuk mempamerkan pencapaian semasa
Malaysia dalam membangunkan ICM. Bahan penerbitan diedarkan dan satu pasukan
kakitangan sentiasa bersedia untuk memberikan taklimat dan melayani pertanyaan
orang ramai tentang ICM. Untuk memberikan kefahaman yang lebih baik mengenai
etika perniagaan dan tadbir urus korporat, dan untuk membolehkan peserta
pasaran bertukar-tukar pandangan dan pendapat mengenai pengurusan aset dan
tanggungan daripada perspektif Islam, Suruhanjaya dan Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM) bersama-sama menganjurkan forum bertajuk “Muzakarah Pakar:
Pengurusan Aset dan Tanggungan dari Perspektif Islam” pada bulan April 2003 di
IKIM. Di samping itu, Suruhanjaya turut menganjurkan ceramah dan pembentangan
khas mengenai ICM kepada beberapa organisasi dan institusi pengajian tinggi.
Suruhanjaya juga memberikan
bantuan kepada Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dalam penerbitan buku
berjudul Halal Malaysia. Buku ini adalah sebagai panduan bagi pelabur,
pengurus dana, masyarakat perniagaan, organisasi perdagangan, kerajaan,
persatuan dan individu untuk mendapatkan kefahaman awal yang berharga tentang
pelaburan tempatan dan persekitaran perniagaan. Hingga kini, buku ini menyediakan
profil ringkas tentang syarikat dan produk kewangan Islam yang ditawarkan oleh
institusi kewangan dan pelaburan tempatan di Malaysia, yang telah mendapat
kelulusan Syariah daripada MPS Suruhanjaya dan BNM. Buku ini dilancarkan dan
diedarkan kepada orang ramai semasa Ekspo OIC.
5.2.7
Penglibatan di peringkat antarabangsa
SC menyertai
Organisasi Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) pada tahun 1993, dan masih
lagi menjadi ahli aktif dalam sesetengah persatuan dan menjalankan kerja luar
IOSCO. Di
persada antarabangsa, Pasukan Petugas Pasaran Modal Islam IOSCO yang
dipengerusikan oleh Pengerusi Suruhanjaya, terus melaksanakan pelbagai
inisiatif yang bertujuan menilai tahap perkembangan dan mengenal pasti isu
pengawalseliaan yang mungkin timbul berhubung dengan ICM global. Pasukan
Petugas ini menyempurnakan kajian mencari fakta dengan mengumpul maklum balas
daripada kebanyakan ahli IOSCO dan institusi lain yang berkaitan. Maklum balas
ini diperkukuh oleh maklumat daripada sumber sekunder mengenai pasaran modal
Islam serta daripada runding cara dan temu duga dengan beberapa penggiat global
terkemuka untuk menganalisis isu utama dan cabaran yang dihadapi oleh ICM